| Date |
: 6 July 2006 |
| Media |
: Berita Harian |
EXIM Bank rangka strategi jadi dinamik
Kemudahan baru meliputi produk insurans,
pembiayaan bersama
EXPORT-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM
Bank) menggariskan strategi hala tuju
perniagaan lima tahun bagi menjadikannya
sebuah institusi kewangan dinamik yang peka
kepada keperluan pengeksport negara ini.
Pengerusinya, Tan Sri Othman Mohd Rijal,
berkata langkah itu juga diharap dapat
meletakkan EXIM Bank sebagai institusi
kewangan utama bagi pembiayaan perdagangan
dan pelaburan antarabangsa serta menjadi
pusat sehenti kepada pengeksport, pengimport
dan pelabur.
Beliau berkata, bagi mencapai matlamat
itu, bank itu akan memberikan tumpuan kepada
perniagaan yang dapat menjana pendapatan
eksport dan tukaran asing menerusi eksport
serta pelaburan Malaysia di luar negara.
EXIM Bank, katanya, turut memperkenalkan
beberapa kemudahan baru meliputi dua produk
insurans dan satu kemudahan pembiayaan
bersama berasaskan perdagangan dengan Bank
Pembangunan Islam.
“Kami juga turut memperuntukkan dana RM1
bilion menerusi skim pembiayaan kontrak luar
negara yang disasarkan kepada perusahaan
kecil dan sederhana (PKS) bagi mengembangkan
perniagaan di pasaran bukan tradisi,
khususnya di negara Pertubuhan Persidangan
Islam (OIC),” katanya menerusi kenyataan
bagi mengumumkan keputusan kewangan EXIM
Bank bagi tahun kewangan berakhir 31
Disember 2005.
Bagi tahun yang dikaji, EXIM Bank meraih
keuntungan sebelum cukai RM119.4 juta,
peningkatan 59 peratus berbanding RM74.9
juta pada 2004, sementara keuntungan
bersihnya meningkat 55 peratus kepada RM83.4
juta daripada RM53.9 juta.
Pendapatan operasinya meningkat daripada
RM100.2 juta kepada RM135.6 juta, manakala
keuntungan operasi bertambah 145 peratus
kepada RM85.8 juta daripada RM35 juta.
Mengulas prestasi kewangan itu, Pengarah
Urusan dan Ketua Eksekutif EXIM Bank, Kamal
Mohd Ali, berkata prestasi lebih baik itu
berikutan peningkatan operasi perbankan,
pemulihan dalam pinjaman tidak berbayar (NPL)
terdahulu dan pengurangan peruntukan untuk
hutang lapuk serta hutang ragu.
Katanya, keputusan kewangan itu juga
memasukkan pendapatan perniagaan Malaysia
Export Credit Insurance Bhd (Mecib) yang
diserapkan ke dalam EXIM Bank pada Oktober
tahun lalu.
Beliau berkata, di sebalik persekitaran
mencabar, aset pinjaman dan tanggungan luar
jangka masing-masing meningkat 27 peratus
dan 448 peratus, manakala NPL menurun kepada
12.7 peratus daripada 28.5 peratus
sebelumnya.
“Dalam tempoh berkenaan, EXIM Bank
meluluskan pinjaman berjumlah RM1.2 bilion,”
katanya
Back to News
|