Date : 6 July 2007
Media : Utusan Malaysia

Malaysia Kitchen: EXIM sedia RM180j

KUALA LUMPUR 5 Julai – EXIM Bank (M) Bhd. (EXIM Bank) akan menyediakan peruntukan pembiayaan Malaysia Kitchen berjumlah RM180 juta yang mana RM35 juta akan diagihkan menjelang akhir tahun ini.

Malaysia Kitchen adalah rancangan pembukaan restoran oleh usahawan-usahawan tempatan untuk memperkenalkan dan mempromosikan masakan Malaysia di luar negara yang ditawarkan melalui peruntukan dana khas oleh EXIM Bank.

Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank, Datuk Kamal Mohd. Ali, setakat ini, pihaknya telah meluluskan lima permohonan berjumlah RM20 juta daripada 15 permohonan diterima bernilai RM70 juta.

 

Ng Yen Yen (dua dari kiri) dan Othman Mohd. Rijal menyaksikan pertukaran dokumen antara Ahmad Hashim (kiri) dan Kamal Mohd. Ali dalam majlis menandatangani perjanjian penempatan kemudahan pinjaman Malaysia Kitchen di Kuala Lumpur, semalam.

‘‘Kami masih meneliti beberapa permohonan secara serius dan sasaran awal bagi meluluskan pinjaman itu dijangka mampu dicapai,’’ katanya selepas majlis memeterai perjanjian penempatan (placement agreement) antara Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan dan EXIM Bank di sini hari ini.

Pada majlis itu, Kamal mewakili EXIM Bank dan Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Kewangan, Datuk Ahmad Hashim mewakili kerajaan. Majlis itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ng Yen Yen dan Pengerusi EXIM Bank Tan Sri Othman Mohd. Rijal.

Pembiayaan Malaysia Kitchen ditawarkan kepada pengusaha restoran tempatan yang memiliki pengalaman dalam bidang itu selama tiga tahun di dalam negara dan setahun di luar negara.

Kamal menambah, EXIM Bank berupaya memberi pinjaman sehingga 90 peratus daripada kos termasuk pembinaan, membaik pulih, pembelian peralatan, operasi dan modal kerja.

Katanya, kadar faedah yang dikenakan pula adalah sebanyak tiga peratus setahun dengan tempoh pembayaran sehingga lima tahun.

‘‘Ini adalah kemudahan yang paling menarik ditawarkan oleh EXIM Bank dan tidak ada bank di negara ini yang mampu memberi kemudahan sebaik ini,’’ tambah Kamal.

Beliau memberitahu, berdasarkan kajian yang dibuat oleh bank berkenaan, usahawan tempatan memerlukan modal antara RM2 juta hingga RM5 juta bagi membuka restoran di luar negara, namun di bergantung kepada lokasi.

Sementara itu, Yen Yen berkata, peruntukan yang disediakan oleh kerajaan itu tiada had tetapi perlu mematuhi beberapa syarat, antaranya ialah restoran yang bakal dibuka di luar negara itu perlu dimiliki sebanyak 70 peratus oleh rakyat Malaysia.

Menjawab satu pertanyaan, Timbalan Menteri itu, kerajaan bersedia menambah jumlah pembiayaan Malaysia Kitchen pada masa depan tetapi ia bergantung kepada jumlah pinjaman yang tidak berbayar (NPL).

‘‘Sebab itu, kita (Kementerian Kewangan) mahu EXIM Bank membuat penelitian secara berhati-hati sebelum meluluskan permohonan terhadap pinjaman ini, untuk memastikan mereka yang layak sahaja diberi kelulusan,’’ kata beliau.

Yen Yen memberitahu, kerajaan bersetuju untuk menyediakan peruntukan bagi Malaysia Kitchen untuk mempromosikan Malaysia melalui makanan di luar negara.

Katanya, kerajaan sebanyak 8,000 buah restoran tempatan di luar negara menjelang tahun 2015 berbanding 400 buah sekarang.

 

Back to News

   
  All Words
Any Words
Phrase
 
     
  Copyright © 2006 Export-Import Bank of Malaysia Berhad. All Rights Reserved. FLASH INTRO |  DISCLAIMER