| Date |
: 30 November 2006 |
| Media |
: Utusan Malaysia |
EXIM Bank unjur untung naik 20 peratus
KUALA LUMPUR 29 Nov. – EXIM Bank menyasarkan pertumbuhan keuntungan antara 15 dan 20 peratus kepada RM80 juta tahun depan berbanding RM70 juta tahun ini.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank, Kamal Mohd. Ali berkata, unjuran itu selaras dengan hala tuju strategik perniagaan bank tersebut untuk menumpukan kepada penjanaan pendapatan eksport dan pertukaran mata wang asing.
Katanya, hasrat strategik itu dicapai melalui aktiviti eksport dan pelaburan tempatan di luar negara.
“Ia merupakan strategi perniagaan EXIM Bank untuk menjadi pusat sehenti pembiayaan kewangan bagi para pengeksport, pengimport dan pelabur,” katanya pada taklimat media sempena pelancaran logo baru bank tersebut di sini hari ini.
Katanya, anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan itu bakal menawarkan empat kemudahan pinjaman termasuk dua produk insurans iaitu Polisi Perdagangan Kewangan Pelbagai Mata Wang dan Polisi Kewangan Pengeksport Tidak Langsung mulai tahun depan.
Produk itu ialah Kemudahan Jaminan Luar Negara EXIM iaitu geran dengan dana sebanyak RM1 bilion oleh EXIM Bank kepada bank-bank komersial bagi membiayai kewangan perusahaan kecil dan sederhana yang mahu melaksanakan projek serta kontrak di luar negara.
EXIM Bank juga menawarkan dana sebanyak RM130 juta di bawah Kemudahan Kewangan DapurMalaysia, dana khas oleh kerajaan untuk menggalakkan usahawan restoran tempatan bagi meluaskan operasi mereka ke luar negara.
Sementara itu, Pelaburan Luar Negara adalah kemudahan membiayai separuh daripada kewangan kos praoperasi syarikat- syarikat tempatan yang memperoleh kontrak luar negara.
Katanya, bank itu memperuntukkan dana sebanyak RM100 juta untuk kos praoperasi yang membabitkan penyediaan dokumen tender dan kajian daya maju projek.
Menurut beliau, Penyusunan Pembiayaan Bersama Perdagangan pula adalah kemudahan kredit yang disediakan bersama Bank Pembangunan Islam (IDB) untuk membiayai eksport ke negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam.
Menurutnya, di bawah produk itu EXIM Bank dan IDB menyediakan dana sebanyak RM360 juta untuk para pengimport dalam negara-negara pertubuhan Islam bagi membiayai kewangan eksport daripada Malaysia.
Mengulas mengenai prestasi kewangannya, Kamal berkata, bank itu telah mencapai 80 peratus daripada unjuran keuntungan sebanyak RM70 juta bagi tahun ini. “Kita sudah berada di landasan sebenar untuk mencapai sasaran awal dan EXIM Bank sedang membuat unjuran lebih baik bagi tahun 2007,” kata beliau.
Tambahnya, sehingga 31 Oktober lalu EXIM Bank telah meluluskan pinjaman dan insurans sebanyak RM2.23 bilion sementara Pembiayaan Semula Kredit Eksport kira-kira RM7 bilion.
“Pada keseluruhannya jumlah pembiayaan EXIM Bank meningkat 18% kepada RM4.3 bilion berbanding RM3.65 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu,” katanya.
Kamal berkata, selain tiga buah cawangan iaitu di Pulau Pinang, Johor dan Ipoh yang akan beroperasi penuh pada tahun depan, EXIM Bank turut bercadang menambah tiga lagi cawangannya.
Back to News
|