EXPORT Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) yang yakin mencatat pertumbuhan keuntungan antara 15 hingga 20 peratus setiap tahun dalam tempoh lima tahun hingga 2011, mengunjurkan keuntungan bersih RM70 juta tahun ini dan RM80 juta pada 2007.
Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutifnya, Kamal Mohd Ali, berkata keyakinan itu selaras dengan pelaksanaan strategi baru yang akan mencarta hala tuju menjadikan bank itu sebagai institusi jaminan eksport yang peka kepada keperluan pelanggan.
Katanya, ini termasuk memperkenalkan dua produk insurans baru; dasar pembiayaan perdagangan mata wang pelbagai dan dasar kewangan pengeksport tidak langsung; dan produk pembiayaan langsung dikenali sebagai kemudahan pembiayaan kerjasama perdagangan dengan Bank Pembangunan Islam (IDB).
Tahun lalu, syarikat itu mencatat keuntungan bersih RM83.4 juta, naik 55 peratus berbanding RM53.9 juta pada 2004, manakala perolehan dalam tempoh berkenaan berkembang 35 peratus kepada RM135.6 juta.
Beliau berkata, EXIM Bank kini sudah sedia untuk meneruskan perniagaan dengan lebih agresif selepas usaha penggabungannya dengan Malaysia Export Credit Insurance Bhd (Mecib) hampir selesai.
“Usaha penggabungan dengan Mecib berlangsung Oktober 2005, tetapi ia belum selesai sepenuhnya, termasuk mendapat beberapa kelulusan membabitkan penggabungan itu.
“Walaupun masih belum selesai sepenuhnya, tetapi kini kami adalah entiti baru yang mempunyai tanggungjawab langsung terhadap operasi kami sepenuhnya,” katanya pada taklimat media mengenai keputusan kewangan 2005 dan memperkenalkan logo baru EXIM Bank, di Kuala Lumpur, semalam.
Menerusi penggabungan itu, EXIM Bank menyerap semua operasi Mecib, sekali gus menambah perkhidmatan dan kemudahan ditawarkannya termasuk perkhidmatan insurans kredit eksport, insurans pembiayaan eksport, insurans pelaburan luar negara, dan kemudahan jaminan.
Tahun lalu, syarikat itu mencatat keuntungan bersih RM83.4 juta, naik 55 peratus berbanding RM53.9 juta pada 2004, manakala perolehan berkembang 35 peratus kepada RM135.6 juta.
Menjelaskan mengenai prestasi kewangan tahun lalu, Kamal berkata purata hutang tidak berbayar (NPL) EXIM Bank ketika ini berada pada paras lapan peratus dan kadar itu dijangka kekal hingga akhir tahun.
Tahun lalu, NPL bank itu susut kepada 12.7 pertus berbanding 28.5 peratus pada 2004.
Dalam tempoh berkenaan juga, bank itu meluluskan pembiayaan dan jaminan bernilai RM1.2 bilion, peningkatan 51 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2004.
Daripada jumlah itu, sektor pembinaan, tenaga, komoditi, barangan modal dan perkilangan adalah penerima manfaat daripada pembiayaan berkenaan.
Kamal berkata tahun lalu, EXIM Bank turut mencatat kejayaan menerusi perniagaan insuransnya dengan mencatat perlindungan nilai eksport sebanyak RM1.87 bilion, meningkat 19.9 peratus berbanding tahun lalu.
Bagi 2006 pula, beliau berkata hingga 31 Oktober lalu, bank itu meluluskan sejumlah pembiayaan dan insuran bernilai RM2.23 bilion, manakala pembiayaan semula kredit eksport (ECR) bernilai RM7 bilion.
“Keseluruhannya, pencapaian itu adalah menggalakkan sekali gus meningkatkan pendedahan perniagaannya sebanyak 18 peratus kepada RM4.3 bilion hingga akhir Oktober lalu, berbanding RM3.65 bilion dalam tempoh sama 2005,” katanya.
Kamal berkata, EXIM Bank bercadang menambah dua lagi cawangan iaitu setiap satu di Pantai Timur dan Sabah atau Sarawak bagi menambah tiga cawangan sedia ada di Kuala Lumpur, Ipoh, Pulau Pinang dan Johor Baharu.
Sementara itu, Kamal berkata, jenama baru EXIM Bank menggambarkan wawasan syarikat untuk menjadi pemangkin dalam pembangunan eksport negara ini, khususnya ke rantau Asia, Asia Pasifik, Asia Barat dan rantau Amerika.