Date : 12 December 2006
Media : Berita Harian

EXIM-Bank sasar lulus RM700j dana EOGF

EXPORT-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM-Bank), mensasar meluluskan RM700 juta atau 70 peratus daripada dana berjumlah RM1 bilion menerusi program Kemudahan Jaminan Pembiayaan Luar Negara (EOGF) kepada empat bank untuk diagihkan kepada kontraktor, tahun depan.

Empat bank yang menyertai skim itu ialah Malayan Banking Bhd (Maybank), CIMB Bank Bhd, RHB Bank Bhd dan Affin Bank Bhd.

EOGF adalah dana khas yang ditubuhkan Bank Negara Malaysia dengan peruntukan RM1 bilion bagi meningkatkan akses pembiayaan kepada kontraktor Malaysia yang ingin mendapat atau sudah memperoleh kontrak atau projek di luar negara.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Eksekutif EXIM Bank, Kamal Mohd Ali, berkata separuh daripada jumlah dana itu yang disalurkan menerusi empat bank berkenaan dijangka diagihkan kepada syarikat yang layak menjelang akhir tahun depan.

“Dana bertindak sebagai dana jaminan bagi memudahkan syarikat yang layak mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan yang menyertai skim jaminan EXIM-Bank,” katanya pada majlis menandatangani skim kemudahan pembiayaan itu antara EXIM-Bank dengan Maybank, CIMB Bank, RHB Bank dan Affin Bank di Kuala Lumpur, semalam.

Pada majlis itu, Kamal mewakili EXIM-Bank; Maybank diwakili Pre siden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Amirsham A Aziz; CIMB Bank oleh Naib Presiden Eksekutifnya, Tan Leng Hock; RHB Bank oleh Ketua Eksekutifnya, Michael J Barrett manakala Affin Bank diwakili Pengarah Bahagian Perbankan Enterprisnya, Zulkiflee Abbas Abdul Hamid.

Kamal berkata, dana itu juga bertujuan mengembangkan eksport perkhidmatan profesional Malaysia dalam bidang seperti teknologi maklumat (IT), perundingan projek dan sektor perkhidmatan kejuruteraan di seberang laut.

Katanya, menerusi EOGF, institusi kewangan yang menyertai skim itu mampu menyediakan pembiayaan kepada peminjam sehingga 90 peratus daripada nilai kontrak dalam mata wang utama dunia.

 

Back to News

   
  All Words
Any Words
Phrase
 
     
  Copyright © 2006 Export-Import Bank of Malaysia Berhad. All Rights Reserved. FLASH INTRO |  DISCLAIMER