| Date |
: 07 July 2008 |
| Media |
: Utusan Malaysia - Korporat |
EXIM Bank laksana CIP tingkatkan sistem penyampaian
KUALA LUMPUR 6 Julai - Export- Import Bank of Malaysia Bhd. (Exim Bank) akan melaksanakan Program Penambahbaikan Korporat (CIP) bagi meningkatkan keseluruhan sistem penyampaiannya.
Kenyataan EXIM Bank berkata, CIP merupakan pendekatan enam serampang yang meliputi permodalan semula kunci kira-kira dan penstrukturan semula, peningkatan strategi perniagaan, pembangunan modal insan, peningkatan prosedur dan kerangka kerja tadbir urus.
Menurutnya, inisiatif itu akan mengukuhkan Exim Bank dalam memainkan peranan sebagai institusi kewangan Pembangunan bagi meningkatkan daya saing syarikat Malaysia yang berorientasikan eksport.
Tambahnya, pelaksanaan CIP juga akan menyokong pertumbuhan bank itu.
''Bagi meningkatkan sistem penyampaian, proses dan prosedur, EXIM Bank telah menilai semula dan memperkemas proses, dasar, prosedur dan garis panduan dalaman supaya selaras dengan keperluan kawal aturan serta kerangka kerja tadbir urus risiko dan korporat yang baik
''Gabungan semua bidang penambahbaikan berkenaan dijangka meningkatkan keseluruhan sistem penyampaian bank itu bagi memenuhi permintaan pelanggan dan pemegang sahamnya,'' kata kenyataan itu hari ini.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2007, EXIM Bank mencatatkan peningkatan dalam pembayaran pinjaman sebanyak 60 peratus dan ia menyumbang sebanyak 20 peratus kepada pertumbuhan dalam aset pinjaman.
Pada peringkat operasi, EXIM Bank mencatatkan keuntungan sebanyak RM176.4 juta, hampir sekali ganda daripada RM89.1 juta pada tahun 2006.
Sementara itu, kenyataan tersebut berkata, EXIM Bank maju selangkah lagi apabila memperluaskan produk dan perkhidmatannya yang akan diperkenalkan dan mewujudkan permintaan yang amat baik di kalangan sektor serta para pelanggan bank.
Bank itu dijangka melancarkan produk perkhidmatan kewangan Islamnya awal tahun depan, jelasnya.
Katanya, produk baru itu akan diperkenalkan bagi memenuhi permintaan sektor sasaran dan pelanggan.
"Perbankan Islam dan perkhidmatan takaful telah dikenal pasti sebagai bidang pertumbuhan yang berpotensi," katanya.
Menurut bank berkenaan, ia juga akan melabur dalam infrastruktur teknologi maklumat (IT) bagi melengkapkan inisiatif penambahbaikan yang berterusan dengan rancangan untuk meningkatkan kecekapan.
"Bagi meningkatkan sistem penyampaian, proses dan prosedur, EXIM Bank telah menilai semula dan memperkemas proses, dasar, prosedur dan garis panduan dalamannya untuk seiring dengan keperluan kawal aturan serta kerangka kerja tadbir urus dan korporat yang baik," katanya.
Gabungan semua bidang penambahbaikan berkenaan dijangka meningkatkan keseluruhan sistem penyampaian bagi bank untuk memenuhi permintaan pelanggannya.
Back to News
|