| Date |
: 31 October 2007 |
| Media |
: The Star - StarBiz |
Kerjasama EXIM-Bank sedia pembiayaan luar negara Bank Islam salur RM250j biaya projek
 |
|
| LUAS OPERASI: Zukri (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Kamal sambil diperhatikan oleh Nor Azam kiri) dan Aminuddin, di Kuala Lumpur, semalam. |
BANK Islam Malaysia Bhd menjangka menyalurkan pembiayaan berjumlah RM250 juta kepada syarikat tempatan, termasuk dari sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi membiayai projek yang mereka peroleh di luar negara.
Pengarah Urusannya, Datuk Zukri Samat, berkata bank itu ketika ini sudah menerima 20 permohonan membabitkan pembiayaan berjumlah kira-kira RM150 juta dengan sebahagian besar adalah daripada syarikat tempatan yang mendapat projek pembinaan di Asia Barat.
"Kemudahan pembiayaan ini dibuka kepada semua pelanggan, termasuk syarikat PKS yang mendapat projek berdaya maju di luar negara tetapi tidak mempunyai cagaran mencukupi," katanya kepada pemberita selepas pemeteraian perjanjian antara Bank Islam dengan Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM-Bank) bagi Kemudahan Jaminan Pembiayaan Luar Negara EXIM (EOGF).
Pada majlis itu, Bank Islam diwakili Zukri dan Pengurus Besar Perbankan Perniagaannya, Nor Azam M Taib, manakala EXIM-Bank oleh Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Kamal Mohd Ali dan Naib Presiden, Bahagian Perbankan Pembangunan Perniagaannya, Aminuddin Bashah.
Menerusi EOGF itu, EXIM Bank akan menyediakan jaminan sehingga 80 peratus daripada pembiayaan dikeluarkan Bank Islam kepada pelanggan yang layak.
EOGF ditawarkan kepada syarikat tempatan atau anak syarikat mereka yang sudah mendapat, sedang berunding atau membida bagi projek luar negara, dengan keutamaan diberikan kepada projek dalam bidang pembinaan.
Zukri berkata, kemudahan itu tidak akan ditawarkan kepada projek penswastaan serta konsesi, dan Bank Islam juga tidak akan membiaya projek bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta anak syarikatnya dan syarikat senaraian awam.
Katanya, Bank Islam sedia membiayai sehingga 90 peratus daripada nilai kontrak dalam nilai ringgit dan mata wang utama seperti dolar Amerika Syarikat, pound sterling, eruo dan yen dengan had maksimum RM100 juta. Tempoh pembayaran balik adalah sehingga 10 tahun.
Beliau berkata, kemudahan pembiayaan itu boleh dipohon di semua cawangan Bank Islam di seluruh negara.
Sementara itu, Kamal berkata, setakat ini EXIM-Bank sudah meluluskan kira-kira RM100 juta daripada peruntukan dana berjumlah RM1 bilion yang disediakan Bank Negara Malaysia bagi EOGF dan RM100 juta lagi dijangka dapat diluluskan menjelang akhir tahun ini.
Katanya, bank itu akan meluluskan jaminan bagi pembiayaan projek luar negara dengan anggaran tempoh siap antara 34 hingga 36 bulan.
Back to News
|