| Date |
: 08 April 2009 |
| Media |
: Berita Harian (Ekonomi) |
EXIM BANK SASAR LULUS PINJAMAN RM1B
EXPORT-Import Bank of Malaysia Bhd (Exim Bank) menyasar meluluskan pinjaman berjumlah lebih RM1 bilion tahun ini dalam usahanya membantu lebih banyak syarikat tempatan meneroka pasaran baru di luar negara.
Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutifnya, Mohd Fauzi Rahmat, berkata meskipun persekitaran ekonomi semasa kurang memberangsangkan berikutan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan di Eropah, bank itu melihat ia sebagai peluang terbaik bagi syarikat tempatan meluaskan perniagaan ke pasaran lain, terutama negara di Asean, Asia Utara, Asia Barat dan Benua Afrika.
“Perlu diingatkan bahawa aktiviti perdagangan tidak akan berhenti meskipun prestasi perdagangan semasa antara Malaysia dan negara lain, terutama AS agak perlahan dan dijangka merosot 20 peratus tahun ini.
“Justeru, dengan tumpuan bank ini kepada pasaran selain AS dan Eropah, iaitu di kalangan negara Asean, Asia Utara, Asia Barat dan benua Afrika yang mana syarikat dan usahawan Malaysia mempunyai kelebihan dari segi daya saing, kami berharap lebih banyak syarikat tempatan mendapatkan pembiayaan dan meneroka pasaran baru itu tahun ini.
“Bagi Exim Bank, kami sudah pun melihat beberapa projek berpotensi untuk dibiayai, terutama di pasaran berkenaan yang bernilai lebih RM5 bilion. Semuanya akan diluluskan tetapi bukan semuanya tahun ini,” katanya sambil menambah sebanyak RM500 juta akan membabitkan pembiayaan berlandaskan Syariah.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas memeterai perjanjian pembiayaan berkonsepkan Murabahah dengan Asian Finance Bank Bhd (AFB) bagi membiayai sebahagian daripada kos pembelian Bangunan Darul Takaful, di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, semalam.
Pada majlis itu AFB diwakili Ketua Eksekutifnya, Datuk Mohamed Azahari Kamil. Hadir sama, Pengerusi Exim Bank, Datuk Mohd Hashim Hassan, Pengarah AFB, Fouad Hayeel Saeed dan Pengerusi Syarikat Takaful Malaysia, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil.
|