| Date |
: 08 April 2009 |
| Media |
: Utusan Malaysia 2 (Bisnes) |
EXIM BANK DAPAT PEMBIAYAAN RM55 JUTA BELI BANGUNAN
 |
| MOHAMED Azahari Kamil (kiri) bertukar-tukar dokumen dengan Mohd. Fauzi Rahmat selepas memeterai perjanjian untuk membiayai sebahagian pembelian Bangunan Darul Takaful dengan nilai RM55 juta di Kuala Lumpur, semalam. |
KUALA LUMPUR 8 April - Export-Import Bank of Malaysia Bhd. mendapat pembiayaian Murabahah bernilai RM55 juta daripada Asia Finance Bank Bhd. (AFB) untuk membiayai sebahagian pembelian Bangunan Darul Takaful di Jalan Sultan Ismail, di sini.
Pembiayaan bagi bangunan milik kerajaan 18 tingkat dengan kawasan seluas 99,022 kaki persegi itu adalah selama tujuh tahun dan dijual oleh Syarikat Takaful Malaysia Bhd. kepada Exim Bank pada harga RM63 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif AFB, Datuk Mohamed Azahari Kamil berkata, hartanah komersial mungkin tidak akan terjejas teruk sekiranya ekonomi pulih dengan pantas.
Katanya, nilai hartanah akan meningkat sebaik sahaja ekonomi kembali stabil, sekali gus menaikkan kadar sewa, penghunian dan kemudahan pembiayaan.
"Kami berasa bangga menjadi bank asing Islam yang pertama membiayai sebahagian bangunan syarikat milik kerajaan dan sentiasa mencari peluang untuk bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan di rantau Timur Tengah.
"Kami melihat potensi yang besar dalam pasaran Malaysia terutamanya dalam sektor perkilangan dan hartanah," katanya kepada pemberita selepas memeteraikan perjanjian dengan Exim Bank, di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Exim Bank, Mohd. Fauzi Rahmat.
Menurut Mohamed Azahari, pihaknya menjangkakan pertumbuhan konservatif bagi segmen pinjamannya, iaitu antara 15 hingga 20 peratus, hujung tahun ini.
"Setakat ini, portfolio pertumbuhan pinjaman AFB ialah RM350 juta sejak kami beroperasi di Malaysia tiga tahun lalu," katanya.
Sementara itu, Mohd Fauzi berkata, baki pembiayaan sebanyak RM8 juta untuk pembelian bangunan itu dibiayai oleh dana yang dijana secara dalaman.
Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya tidak akan berpindah ke bangunan tersebut serta merta kerana masih diduduki oleh Bank Islam.
"Buat masa ini, Bank Islam masih merupakan penyewa tunggal di dalam bangunan itu dan kami hanya akan masuk pada awal tahun 2011 atau bergantung kepada kekosongan bangunan itu.
"Bangunan sedia ada masih mencukupi untuk dua tahun dan saiz keperluan bagi sepanjang dua tahun itu antara 6967.76 hingga 7,432.27 meter persegi," ujarnya.
Tambahnya, AFB dipilih untuk membiayai sebahagian pembelian itu kerana mereka menawarkan kadar terbaik.
"Kami berkongsi aspirasi serta menumpu terhadap pasaran yang sama dan menerusi ini, kami mampu berkembang lagi," katanya.
|