21 Februari 2014
EXIM BANK SALUR RM 80,000 WANG ZAKAT KEPADA 80 KOMUNITI COCHRANE PERKASA.

Kuala Lumpur, (21 Februari) - Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank) hari ini telah menyalurkan sejumlah RM80,000 wang zakat kepada 80 golongan asnaf sebagai tanda prihatin dan menunaikan tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat dalam membantu golongan miskin dan golongan kurang berkemampuan.

Sumbangan tersebut telah disampaikan kepada Encik Mohd Murad Hj Mat Nor, Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Cochrane Perkasa manakala hadir untuk menyerahkan cek sumbangan tersebut ialah Ketua Pegawai Operasi EXIM Bank, Yang Berusaha Encik Wan Zalizan Wan Jusoh.

Berucap di majlis penyerahan itu, Encik Wan Zalizan berkata bahawa perlaksanaan zakat yang merupakan rukun Islam ketiga, adalah suatu cara terbaik untuk merapatkan jurang kemiskinan dan seterusnya meringankan bebanan golongan kurang berkemampuan. Sumbangan ini juga adalah sejajar dengan usaha Bank dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya.

“Usaha begini menunjukkan bahawa hubungan antara Bank dengan komuniti tidak semestinya terbatas kepada program kewangan dan perniagaan semata-mata tetapi boleh meliputi pelbagai aktiviti termasuk yang berbentuk kemasyarakatan,” jelas Encik Wan Zalizan lagi.

EXIM Bank Malaysia banyak melaksanakan inisiatif-inisiatif tanggungjawab sosial korporat di bawah landasan komuniti, bidang pendididikan dan pemuliharaan alam sekitar. EXIM Bank Malaysia akan meneruskan usaha-usaha lestari dan memberi impak terhadap kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya.