26 Mei 2015
MAJLIS PENYERAHAN ZAKAT EXIM BANK DI PPR HILIRAN AMPANG.

KUALA LUMPUR, Selasa (26 Mei 2015) – Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank) hari ini menyerahkan sumbangan wang zakat kepada penghuni Projek Perumahan Rakyat Hiliran Ampang, Kuala Lumpur.

Majlis ini telah dijayakan oleh Y.Bhg. Dato’ Dr. Ali Haji Baharum, Pengerusi Jawatankuasa Syariah EXIM Bank. Turut menjayakan majlis ini adalah Puan Norzilah Mohammed, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank dan wakil dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Ustaz Azri Iberahim.

Sumbangan zakat adalah berjumlah RM49,000 dan diagihkan kepada 98 orang golongan asnaf fakir miskin yang terdiri daripada warga emas serta ibu tunggal. Cek replika telah disampaikan kepada wakil penduduk, Pengerusi Persatuan Penduduk Hiliran Ampang, En. Ismail Bin Mohamed.

Majlis seumpama ini adalah acara tahunan bagi EXIM Bank. Sumbangan sebanyak RM43,000 telahpun di agihkan kepada asnaf fakir miskin di PPR Batu Muda di Jalan Ipoh Jumaat lalu. Sumbangan tersebut telah diagihkan kepada 86 penerima zakat.

Menerusi sumbangan ini diharapkan dapat menerapkan semangat saling bantu-membantu seterusnya mewujudkan nilai-nilai murni dan amalan sihat masyarakat penyayang. EXIM Bank sebagai sebuah syarikat korporat akan terus menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan menerusi program-program tanggungjawab sosial korporat.