Kuala Lumpur, 1 Mei 2025 – Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) hari ini mengumumkan pengambilalihan saham Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank) dan Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) daripada Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MKD]. Urus niaga ini dimuktamadkan berdasarkan nilai aset ketara bersih (NTA) EXIM Bank dan SME Bank setakat 31 Disember 2023.
Kumpulan BPMB, kini dengan EXIM Bank dan SME Bank sebagai anak syarikatnya, membentuk sebuah entiti yang lebih mantap untuk menyalurkan modal impak secara lebih menyeluruh menerusi ekosistem pembiayaan pembangunan – selari dengan dasardasar utama negara seperti Kerangka Ekonomi MADANI Malaysia, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Rancangan Malaysia Ke-12, serta inisiatif PuTERA35. Dengan gabungan tenaga kerja sedia ada seramai lebih 2,000 orang, Kumpulan BPMB mampu meningkatkan kapasitinya untuk memberikan impak yang lebih hebat pada skala yang lebih besar. Kumpulan ini komited untuk mengekalkan tenaga kerja sepenuhnya dengan peranan kerja yang bermakna, sekaligus mengiktiraf modal insan sebagai teras kepada usaha pembangunan negara.
Dengan pengambilalihan ini, ketiga-tiga institusi mempunyai kebolehan yang lebih kukuh untuk memperluas dan memperkasa mandat sedia ada dalam merapatkan jurang pembiayaan pembangunan negara. Antara fokus utama termasuklah sokongan kepada usahawan Bumiputera, pembiayaan untuk perusahaan kecil sederhana (PKS), menggalakkan transaksi perdagangan masuk dan keluar, serta menyokong pertumbuhan mampan. Secara kolektif, bagi tahun 2025, Kumpulan BPMB telah memperuntukkan RM8.3 bilion untuk pembangunan negara menerusi program-program strategik bersama.
Pengambilalihan ini dijangka membawa sinergi daripada segi hasil dan kecekapan kos dalam jangka masa panjang bagi menyokong pertumbuhan perniagaan pelbagai skala di Malaysia.
Kumpulan BPMB akan melaksanakan pelan integrasi secara menyeluruh yang akan memanfaatkan kekuatan dan sumber setiap entiti bagi menyokong keperluan tiga segmen pasaran yang berbeza secara lebih efektif.
Mengenai Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB)
Ditubuhkan pada 28 November 1973, Bank Pembangunan Malaysia Berhad merupakan institusi kewangan pembangunan milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan). Bank ini memiliki penarafan tertinggi ‘AAA’ daripada RAM Rating Services Berhad dan Malaysia Rating Corporation Berhad dan tertakluk kepada kawal selia Bank Negara Malaysia di bawah Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002.
Dengan jumlah aset terkumpul sebanyak RM29.0 bilion setakat 31 Disember 2023, Bank Pembangunan berada dalam kedudukan kukuh untuk memenuhi keperluan pembiayaan dan pembangunan perniagaan di Malaysia. Bermula 1 Mei 2025, EXIM Bank dan SME Bank telah menjadi anak syarikat milik penuh Bank Pembangunan Malaysia Berhad. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.bpmb.com.my.
Untuk maklumat lanjut, hubungi:
Sazu Zulkifli
Komunikasi Korporat
Bank Pembangunan Malaysia Berhad
E : sazulynn.zulkifli@bpmb.com.my
T : +6019-240 9498
Kadir Danial
Edelman Smithfield
E : kadir.danial@edelmansmithfield.com
T : +6019-222 0296