Kumpulan BPMB Pacu Lebih RM700 Juta Inisiatif Berteraskan Eksport Menerusi Program Unggul Bizconnect With Exporters Bagi Memperkasa Pengembangan Perniagaan Ke Pasaran Global

25 Mei 2026

Kuala Lumpur: 25 Mei 2026 – Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (“Kumpulan BPMB” atau “Kumpulan”) terus memperkukuh ekosistem eksport negara serta memacu agenda transformasi ekonomi Malaysia menerusi pelaksanaan inisiatif strategik bernilai lebih RM700 juta di bawah program unggulnya, BizConnect with Exporters Programme (“BizConnect”), dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (“MATRADE”).

Berperanan sebagai platform pemerkasaan perniagaan, peningkatan daya saing global dan sokongan bagi syarikat tempatan dalam meneroka pasaran serantau serta antarabangsa, BizConnect mengukuhkan peranan Kumpulan BPMB dalam menjana impak pembangunan yang mampan selaras dengan kerangka pengukuran prestasi oleh Bank Negara Malaysia melalui pengukuhan daya tahan perniagaan, peningkatan penyertaan eksport dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif.

Dalam satu kenyataan, Kumpulan BPMB berkata, sebagai sebahagian daripada komitmen Kumpulan BPMB dalam merealisasikan pelaksanaan inisiatif strategik berjumlah RM9 bilion di bawah Belanjawan 2026, pelbagai inisiatif bernilai lebih RM700 juta telah disediakan untuk memperkukuhkan pengembangan eksport, pengantarabangsaan perniagaan dan peningkatan daya saing syarikat Malaysia di peringkat global. Menerusi BizConnect, Kumpulan BPMB bukan sekadar menawarkan pembiayaan, malah menyediakan sokongan menyeluruh merangkumi khidmat nasihat strategik, kerjasama ekosistem serta akses pasaran untuk membantu syarikat tempatan berkembang ke peringkat serantau dan antarabangsa.

BizConnect dijangka melibatkan hampir 100 syarikat di beberapa hab ekonomi utama termasuk Kuala Lumpur, George Town dan Johor Bahru, dengan sesi pertama yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini yang telah disertai oleh 30 syarikat. Inisiatif ini turut menyokong aspirasi nasional di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (“RMK13”), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (“NIMP 2030”) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (“NETR”), selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI.

Syarikat yang menyertai BizConnect akan menerima sokongan menyeluruh meliputi akses kepada penyelesaian pembiayaan yang disesuaikan, khidmat nasihat eksport dan perkongsian maklumat pasaran, jaringan strategik bersama rakan ekosistem, serta program pembangunan kapasiti bagi meningkatkan kesiapsiagaan untuk menembusi pasaran antarabangsa. Pendekatan bersepadu ini membantu syarikat mempercepat perjalanan mereka daripada peringkat kesiapsiagaan eksport kepada penyertaan aktif dan daya saing mampan di pasaran global.

Menerusi BizConnect, syarikat turut berpeluang mengakses pelbagai penyelesaian komprehensif termasuk:

  • Program Jaguh Serantau – menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (“PKS”) Bumiputera yang sedang atau bersedia mengembangkan perniagaan ke pasaran serantau;

  • Program Business Exports – geran pemudah eksport bagi membantu PKS Bumiputera dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan memperluas penembusan ke pasaran global;

  • Skim Export Leap – memudah cara pengembangan antarabangsa dan pertumbuhan eksport melalui insentif kadar pembiayaan untuk PKS dan syarikat korporat; dan

  • Malaysia Global Connect Go Export Cover – menyediakan perlindungan eksport kepada PKS dan syarikat korporat yang menerokai pasaran antarabangsa.

Kesemua inisiatif ini dirangka untuk membantu syarikat sepanjang perjalanan pertumbuhan mereka, daripada pengembangan domestik sehingga penembusan dan pengukuhan operasi di pasaran global.

BizConnect turut menjadi platform strategik yang menghubungkan pengeksport, rakan industri dan MATRADE bagi membuka peluang pembiayaan baharu, memperkukuh kesiapsiagaan eksport, membina kerjasama rentas sempadan dan mengenal pasti laluan pertumbuhan global yang mampan. Dengan merapatkan jurang akses syarikat kepada sumber modal, kepakaran dan jaringan strategik, BizConnect meningkatkan keupayaan syarikat Malaysia untuk bersaing dengan lebih efektif di pasaran antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada pengukuhan daya tahan ekonomi negara secara menyeluruh.

Kumpulan BPMB bersama anak syarikatnya, Export-Import Bank of Malaysia Berhad (“EXIM Bank”) dan Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (“SME Bank”), beroperasi sebagai platform kewangan pembangunan bersepadu yang menyediakan sokongan pembiayaan dan khidmat nasihat menyeluruh bagi memacu pertumbuhan ekonomi mampan. Pendekatan ini meletakkan Kumpulan BPMB sebagai pusat sehenti bagi syarikat Malaysia yang memerlukan akses kepada pembiayaan, kepakaran industri dan jaringan pasaran antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif dan program Pembangunan yang disediakan oleh Kumpulan BPMB, sila layari www.bpmb.com.my, www.smebank.com.my, atau www.exim.com.my.

Mengenai Bank Pembangunan Malaysia Berhad (“BPMB”)
Ditubuhkan pada 28 November 1973, BPMB merupakan sebuah institusi kewangan pembangunan yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan). Beroperasi di bawah pengawasan kawal selia Bank Negara Malaysia seperti yang termaktub oleh Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002, BPMB memegang penarafan kredit jangka panjang tertinggi ‘AAA’ daripada kedua-dua agensi penarafan iaitu RAM Rating Services Berhad dan Malaysia Rating Corporation Berhad.

Berkuat kuasa 1 Mei 2025, EXIM Bank dan SME Bank telah menjadi anak syarikat BPMB. Kumpulan BPMB kini bersedia untuk menyediakan pembiayaan bersifat pemangkin serta memperkasa pembangunan kapasiti perusahaan di Malaysia di samping memudah cara perluasan antarabangsa selaras dengan agenda pembangunan nasional.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.bpmb.com.my  | www.smebank.com.my  | www.exim.com.my

Dikeluarkan oleh:
Kumpulan BPMB
Level 30, Menara Bank Pembangunan,
Plaza Conlay, Jalan Conlay,
50450 Kuala Lumpur, Malaysia.

Arnee Ismail
Ketua, Komunikasi Strategik
Kumpulan BPMB
No. Telefon Pejabat: +603 2603 7700
Emel: arnee.ismail@smebank.com.my

  • line-element
    Kenyataan Akhbar Lain

EXIM Bank Malaysia Signed USD19.97 Million Financing Agreement with Global Tower Corporation to Support Telecommunications Infrastructure Development in Cambodia

Dato’ Charon Mokhzani Appointed As Chairman Of EXIM Bank Malaysia

EXIM Bank Gives Back To The Community